Bilangan orang yang cedera dalam perlanggaran trem di barat laut Moscow meningkat kepada 22 orang, kata polis trafik ibu negara pada Ahad, lapor Xinhua.
Laporan terdahulu menyatakan nahas itu berlaku sekitar jam 09:30 waktu Moscow (0630 GMT) di Jalan Vodnikov dan melibatkan dua trem yang bergerak di Laluan No. 6. Kira-kira 70 orang berada di dalam trem pada masa itu.
Kerosakan teknikal menyebabkan sebuah trem tergelincir dan berlanggar dengan trem yang lain, kata perkhidmatan akhbar Direktorat Utama Moscow di bawah Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.
Pegawai penguatkuasa undang-undang berkata 11 daripada mereka yang cedera berada dalam keadaan serius.
Pejabat pendakwa raya Moscow telah mengambil alih siasatan kemalangan itu.
Sebuah suruhanjaya khas, termasuk pakar dari Metro Moscow dan pengeluar trem, akan menentukan punca nahas itu, kata perkhidmatan akhbar Metro Moscow.