8 wanita terbunuh, berpuluh-puluh cedera apabila bumbung kedai runtuh di Punjab, Pakistan

Sekurang-kurangnya lapan wanita terbunuh dan 45 yang lain cedera pada Isnin apabila bumbung sebuah kedai runtuh di Rahim Yar Khan di wilayah Punjab tengah-timur Pakistan, lapor Anadolu memetik media kerajaan.

Mangsa yang cedera dibawa ke hospital, Anadolu memetik laporan Radio Pakistan.

Kejadian itu berlaku apabila penerima Program Sokongan Pendapatan Benazir, yang menyediakan bantuan tunai kepada keluarga berpendapatan rendah, berkumpul di sebuah kedai runcit yang berfungsi sebagai pusat pembayaran, Anadolu memetik laporan akhbar Dawn.

Pentadbiran daerah berkata sebuah jawatankuasa siasatan telah dibentuk untuk memeriksa punca keruntuhan dan akan mengemukakan laporannya dalam masa 24 jam.

Pesuruhjaya Bahagian, Musarrat Jabeen dilapor berkata, jika siasatan mendapati keruntuhan itu berpunca daripada kecuaian, tindakan undang-undang yang tegas akan diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab, menurut kenyataan itu.

Presiden Pakistan Asif Ali Zardari melahirkan “kesedihan yang mendalam” atas kejadian itu dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa sambil mendoakan agar mangsa yang cedera cepat sembuh.